Rabu, 29 April 2020 | 2:58pm
Inspektor polis, Hazrul Hizham Ghazali, 30 (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya, esok. - Foto STR/Faiz Anuar
Inspektor polis, Hazrul Hizham Ghazali, 30 (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya, esok. - Foto STR/Faiz Anuar

Inspektor akan didakwa rogol, cabul wanita Mongolia esok

KUALA LUMPUR: Pegawai polis berpangkat Inspektor yang dituduh memperdagangkan dua wanita Mongolia di Mahkamah Sesyen Klang hari ini, akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya esok atas kesalahan merogol dan mencabul.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Polis sudah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk menuduh suspek di Mahkamah Petaling Jaya, esok.

"Suspek akan menghadapi enam pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana merogol dan mencabul mangsa pertama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya suspek turut menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa kedua.

Hari ini, suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Klang, atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita Mongolia berkenaan.

Tertuduh, Hazrul Hizham Ghazali, 30, mengaku tidak bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Tasnim menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsanya jika ada dan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.

Tasnim menetapkan tarikh 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Tertuduh ditahan pada malam 11 April lalu dan direman lima hari untuk membantu siasatan.

Berita Harian X