Selasa, 28 April 2020 | 12:54pm
Pemandu teksi warga emas, Lay Kow Chai @ Lai Kon Min, 73, dibawa memasuki kereta milik polis sesudah hukuman terhadapnya kerana melanggar PKP dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini. FOTO/NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Turi
Pemandu teksi warga emas, Lay Kow Chai @ Lai Kon Min, 73, dibawa memasuki kereta milik polis sesudah hukuman terhadapnya kerana melanggar PKP dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini. FOTO/NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Turi

PKP: Pemandu teksi dipenjara 4 hari, denda RM1,000

SUNGAI SIPUT: Pemandu teksi warga emas dihukum penjara empat hari serta denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini selepas mengaku bersalah memandu teksi tanpa kebenaran bergerak sekaligus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Sabtu lalu.

Tertuduh, Lay Kow Chai @ Lai Kon Min, 73, membuat pengakuan itu sewaktu pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang ketika itu sedang membawa teksi ditahan di sekatan jalan raya Jalan Jaya Setia, di sini, jam 1.40 tengahari 25 April lalu.

Dia ditahan selepas gagal mengemukakan alasan munasabah mengenai tujuannya berada di luar sewaktu PKP sedang berkuatkuasa di samping tiada kebenaran untuk bergerak.

Ketika ditahan, dia didapati dalam keadaan mencurigakan memberikan alasan mahu menghantar makanan menggunakan teksi dipandunya sebelum pemeriksaan lanjut mendapati tiada makanan dijumpai dalam teksi terbabit.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Hanis Mohd Zaini mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Nurul Hanis memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum atas alasan faktor umur tertuduh sudah berusia selain berhadapan masalah kesihatan seperti sakit jantung, darah tinggi, dan kencing manis.

Selain itu Nurul Hanis berkata, ia adalah merupakan kesalahan pertama tertuduh dibicarakan di mahkamah selain pendapatan tertuduh sebagai pemandu teksi hanya kira-kira RM1,000 sebulan.

Majistret kemudiannya menetapkan hukuman penjara empat hari bermula dari tarikh ditangkap serta denda RM1,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Sementara itu, Chung Hwei berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap dari Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) bagi mendakwa tertuduh atas satu pertuduhan lain membabitkan kesalahan memiliki rokok seludup.

Ahad lalu, media melaporkan tertuduh ditahan selepas pemeriksaan ke atas teksi dipandunya menemukan lebih 200 kotak rokok tanpa label percukaian dari JKDM ketika tertuduh melakukan kesalahan melanggar PKP yang menyebabkan pertuduhan terhadapnya hari.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X