Khamis, 23 April 2020 | 11:53am

Tak serik ditahan kali kedua ingkar PKP

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang pernah ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama, ditangkap kali kedua di lokasi sama di Jalan Datuk Kumbar di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bersama adik lelakinya berumur 45 tahun ketika menaiki sebuah kereta kira-kira jam 10 malam tanpa sebarang dokumen atau alasan munasabah.

Dia memberi alasan terpaksa keluar malam kerana mengikut adiknya untuk membantu bagi menyelamatkan ikan kelisa peliharaan yang hampir mati.

Dalam kejadian berasingan, dua lelaki berusia sekitar 20-an ditahan ketika menunggang sebuah motosikal yang cuba melarikan diri tetapi berjaya dikejar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Mereka didapati merayau tanpa arah tuju tanpa mengemukakan surat kebenaran atau dokumen berkaitan untuk keluar malam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata tangkapan dalam pemeriksaan mengejut di kawasan itu membabitkan seramai lapan orang.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 51 tahun kerana ingkar PKP dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

“Seramai 16 anggota termasuk URB dan seorang pegawai terbabit dalam pemeriksaan mengejut itu,” katanya.

Berita Harian X