Rabu, 22 April 2020 | 11:51am
Pemandu pacuan empat roda sempat merangkak keluar selepas kenderaannya terbalik dan terbakar di Batu 7 Jalan Apas, Tawau semalam - Foto ihsan bomba.
Pemandu pacuan empat roda sempat merangkak keluar selepas kenderaannya terbalik dan terbakar di Batu 7 Jalan Apas, Tawau semalam - Foto ihsan bomba.

Nasib baik sempat merangkak keluar

TAWAU: Seorang juruelektrik sempat merangkak keluar dari kenderaan paduan empat rodanya apabila kenderaan dipandunya itu terbabas sebelum terbakar di Batu 7 Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, lelaki berusia 45 tahun yang memandu seorang diri gagal mengawal kenderaannya ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke kawasan tengah pembahagi jalan.

Kereta mangsa kemudiannya merempuh tiang lampu sebelum terbalik dan terbakar.

Bagaimanapun, mangsa bertindak pantas dengan merangkak keluar sebelum pikap jenis Toyota Hilux miliknya hangus terbakar.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Batu 10 Jalan Apas menuju ke rumahnya di Taman Megah Jaya.

“Siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca dari kecuaian pemandu sendiri yang memandu laju di kawasan selekoh sehingga gagal mengawal kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.50 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan terbakar sepenuhnya dan operasi pemadaman segera dilakukan bagi mengawal api kebakaran sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.18 malam.

Berita Harian X