Selasa, 21 April 2020 | 10:08am

Merayau ke rumah rakan, dua gadis ditahan ingkar PKP

ALOR SETAR: Dua beradik perempuan antara enam ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan mengejut di Jalan Seberang Putra-Jalan Sungai Baru di sini, malam tadi.

Dalam pemeriksaan pada jam 9.45 malam itu, dua beradik berusia 22 dan 15 tahun ditahan anggota polis ketika menunggang motosikal.

Mereka memberi alasan dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berdekatan, selepas berkunjung ke rumah rakan di Mergong.

Dalam pemeriksaan mengejut itu, polis turut menahan empat lelaki kerana ingkar PKP di lokasi sama.

Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an memberi pelbagai alasan untuk melepaskan diri.

Malah, seorang lelaki berusia 22 tahun cuba menipu polis, kononnya diarah majikan ke kedai telefon bimbit di Kuala Sungai, kerana kedai itu disamun.

Bagaimanapun, taktik lelaki itu gagal apabila anggota polis mahu mengikutnya ke lokasi menyebabkan dia mengaku hanya menipu dan ditahan kerana ingkar PKP.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata dalam pemeriksaan itu, anggotanya menahan enam individu termasuk dua beradik perempuan terbabit kerana ingkar PKP.

Beliau berkata, pemeriksaan mengejut yang bermula jam 9.30 malam hingga 11.30 malam itu disertai dua pegawai dan 16 anggota dan empat anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Alor Setar.

“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Dua beradik perempuan antara enam ditahan kerana ingkar PKP di Kota Setar malam tadi.
Dua beradik perempuan antara enam ditahan kerana ingkar PKP di Kota Setar malam tadi.
Berita Harian X