Isnin, 20 April 2020 | 8:36am

PKP: Keluar malam bawa dadah

ALOR SERAR: Tindakan mencurigakan seorang lelaki menunggang motosikal seorang diri di kawasan berhampiran Jalan Datuk Kumbar malam tadi, membongkar rahsia dia memiliki dadah.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan pada jam 11.10 malam dalam pemeriksaan mengejut yang dilakukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Alor Setar.

Hasil pemeriksaan menemui dua paket kecil dadah disyaki syabu dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia juga positif methaphetamin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan mengejut di lokasi sama, anggotanya menahan seorang lelaki lelaki berusia 31 tahun pada jam 10.45 malam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dia ditahan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Kita dapati jumlah tangkapan yang ingkar PKP semakin mengecil kerana mungkin disebabkan orang ramai sudah akur dengan arahan pihak berkuasa supaya duduk di rumah untuk bersama membantu rantaian COVID-19,” katanya.

Mohd Rozi berkata, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan mengejut untuk memastikan tiada lagi yang ingkar dengan arahan PKP selain sekatan pemeriksaan yang dilakukan anggotanya di lokasi tertentu.

LELAKI berusia 45 tahun yang ditahan polis kerana memiliki syabu dalam pemeriksaan mengejut di Jalan Datuk Kumbar malam tadi. - Foto Zuliaty Zulkiffli
LELAKI berusia 45 tahun yang ditahan polis kerana memiliki syabu dalam pemeriksaan mengejut di Jalan Datuk Kumbar malam tadi. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X