Sabtu, 18 April 2020 | 8:38pm
Keadaan Perodua Viva dan lori membawa muatan yang bertembung menyebabkan dua beranak terbunuh berhampiran Simpang Kota Pinang, Kampung Gajah, hari ini. - NSTP/Ihsan PDRM
Keadaan Perodua Viva dan lori membawa muatan yang bertembung menyebabkan dua beranak terbunuh berhampiran Simpang Kota Pinang, Kampung Gajah, hari ini. - NSTP/Ihsan PDRM

Dua beranak maut bertembung lori ikan

KAMPUNG GAJAH: Dua beranak maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan ikan di Jalan Tanjung Tualang - Kampung Gajah, berhampiran Simpang Kota Pinang, Kampung Gajah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang, mangsa memandu kereta Perodua Viva, Law Ai Yeng, 37, serta anak lelakinya berusia tujuh tahun cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, berkata lori dipandu lelaki berusia 41 tahun bersama kelindan, lelaki warga Indonesia, 27, dari arah Kampung Gajah menghala ke Tanjung Tualang, manakala dua beranak terbabit dari arah bertentangan.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian lori berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dinaiki dua beranak itu.

“Akibat kemalangan itu, Ai Yeng mengalami kecederaan parah di seluruh badan manakala anaknya parah di kepala.

“Pemandu lori dan lelaki Indonesia pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Barudin berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Berita Harian X