Selasa, 14 April 2020 | 4:17pm
Tertuduh, Ahmad Alif Mohamad, dibawa ke mahkamah di mana dia mengaku bersalah merompak ibu tunggal 10 anak. Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Tertuduh, Ahmad Alif Mohamad, dibawa ke mahkamah di mana dia mengaku bersalah merompak ibu tunggal 10 anak. Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Tukang paip mengaku salah rompak ibu tunggal 10 anak

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang paip mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan merompak beg silang mengandungi wang tunai dan telefon bimbit milik ibu tunggal kepada 10 anak.

Tertuduh, Ahmad Alif Mohamad, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak harta iaitu beg silang mengandungi wang tunai RM150, sebuah telefon bimbit jenama Lenovo, enam utas gelang tangan bukan emas milik Rosmini Othman, 36, bersenjatakan pisau lipat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lubuk Mandi, Kampung Bukit Khor, Marang jam 12.05 tengah hari pada 2 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Noradila menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, L Shantini manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.

Berita Harian X