Selasa, 14 April 2020 | 10:06am

Remaja pandu lori ditahan ingkar PKP

ALOR SETAR: Dua remaja lelaki berusia 16 tahun bukan saja ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah sanggup bergadai nyawa menaiki lori seberat lima tan yang dipandu salah seorang daripada mereka sejauh 30 kilometer.

Mereka memberi alasan baru pulang menghantar stok bekalan makanan ke sebuah masjid di sini sebelum ditahan polis dalam pemeriksaan mengejut di persimpangan lampu isyarat Pantai Johor - Gunung Keriang, di sini.

Kedua-dua mereka yang sudah berhenti sekolah itu, dikatakan menetap di Kepala Batas di Jitra dan sanggup meredah bandar raya ini selepas jam 8 malam sebelum dicekup polis jam 9.30 malam.

Hasil pemeriksaan juga mendapati, remaja lelaki yang memandu lori itu tidak memiliki lesen kenderaan berat selain pernah ditahan kerana ingkar PKP pada 19 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata dalam pemeriksaan mengejut malam tadi, pihaknya menahan lapan individu termasuk dua wanita kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, kesemua mereka berusia antara 16 hingga 21 tahun dan ditahan mengikut Peraturan 3 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Selain itu, kita menahan seorang lelaki berusia 42 tahun kerana memiliki dadah jenis heroin dan syabu malah hasil ujian saringan awal mendapati dia positif morfin.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(1) dan (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ketika ditahan, dia cuba memberi pelbagai alasan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Mohd Rozi berkata, selain itu, anggotanya turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Beliau berkata, lelaki itu cuba merempuh sekatan polis ketika diarahkan berhenti namun dikejar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan berjaya ditahan.

“Hasil ujian saringan awal mendapati, dia positif dadah jenis methapethamin,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam operasi yang bermula jam 9.30 malam hingga 12.30 tengah malam itu, kesemua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Polis menahan dua remaja lelaki berusia 16 tahun kerana ingkar PKP selain memandu lori tanpa lesen. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Polis menahan dua remaja lelaki berusia 16 tahun kerana ingkar PKP selain memandu lori tanpa lesen. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X