Isnin, 13 April 2020 | 12:07am
suspek pecah rumah dan pelbagai barangan yang ditemui polis selepas ditahan di Jalan Templer, Petaling Jaya, hari ini. - Foto ihsan polis.
suspek pecah rumah dan pelbagai barangan yang ditemui polis selepas ditahan di Jalan Templer, Petaling Jaya, hari ini. - Foto ihsan polis.

Dua suspek pecah rumah ditahan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pecah rumah selain menunggang sebuah motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu di Jalan Templer, Petaling Jaya dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata dua suspek itu dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 4 pagi di lokasi berkenaan dan apabila diarah berhenti untuk pemeriksaan, mereka cuba melarikan diri.

“Dua kereta peronda polis (MPV) bersama pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah berjaya mengejar dan menahan suspek.

“Ketika suspek dikejar, motosikal dinaiki mereka terbabas dan tercampak sehingga terkena kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu mengalami kerosakan di bahagian pintu dan belakang kereta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek juga cuba meloloskan diri namun berjaya ditangkap dan suspek bertindak agresif ketika proses tangkapan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui pelbagai barangan termasuk sebilah parang, spanar, topeng muka, sebungkus wang syiling serta lebih 60 pemetik api dan suspek gagal menjelaskan status milikan semua barangan terbabit,” katanya.

Menurut Nik Ezanee, semakan turut mendapati motosikal yang dinaiki mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kedua-dua suspek dipercayai terbabit dengan satu kegiatan pecah rumah di daerah Petaling Jaya, baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 28 tahun dan 34 tahun itu kini direman empat hari sehingga Khamis ini untuk siasatan.

Dalam perkembangan lain, Nik Ezanee memaklumkan seramai 12 orang ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 24 jam semalam, manakala 14 orang lagi dikenakan kompaun atas kesalahan sama.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X