Jumaat, 10 April 2020 | 5:27pm
Mohd Hafis (kanan) dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000. - NSTP/Amir Mamat
Mohd Hafis (kanan) dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000. - NSTP/Amir Mamat

Nelayan menangis selepas dijatuhi hukuman denda, penjara

AYER KEROH: Seorang nelayan yang mengaku salah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menangis teresak-esak selepas dijatuhi hukuman penjara dan denda.

Tertuduh, Mohd Hafis Ismail, 38, dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Majistret Teoh Shu Yee selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hafis dengan sengaja menghalang tugas polis dan melarikan diri daripada pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Tun Sri Lanang, kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang dihukum di bawah Perkara 7 Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Wai Yi meminta supaya tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada dirinya serta masyarakat kerana cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Tertuduh diwakili peguam, S Amritpal Singh.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan bermula dari tarikh dia ditangkap selain denda RM3,000 dan tambahan penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hukuman perlu berjalan serentak dengan 14 hari penjara bagi kesalahan kedua.

Berita Harian X