Rabu, 8 April 2020 | 5:41pm
Sidang media PDRM oleh Pengarah KDNKA Bukit Aman , Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengenai perkembangan setuasi semasa COVID-19 di Bukit Aman. NSTP/ROHANIS SHUKRI.
Sidang media PDRM oleh Pengarah KDNKA Bukit Aman , Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengenai perkembangan setuasi semasa COVID-19 di Bukit Aman. NSTP/ROHANIS SHUKRI.

PKP:Jumlah PGA jaga sempadan negara ditingkatkan 50 peratus

KUALA LUMPUR: Seramai 2,197 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan mengawal semua kawasan sempadan negara termasuk Sabah dan Sarawak sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata jumlah itu adalah 50 peratus lebih tinggi daripada anggota PGA yang ditugaskan menjaga sempadan sebelum ini.

“Tugas kawalan dan pemantauan di sempadan negara seperti di utara (sempadan Thailand), pesisir pantai barat Johor serta sempadan Sabah dan Sarawak dipertingkat sepanjang tempoh PKP.

“Ini untuk menghalang sebarang cubaan pembolosan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan bahan terlarang kerana kita tidak mahu ada pihak cuba ambil kesempatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 4,900 pegawai dan anggota PGA turut ditugaskan untuk membantu kontinjen polis negeri dalam menjalankan penugasan sekatan jalan raya (SJR) dan pemeriksaan mengejut di kawasan premis perniagaan dan kediaman.

Selain itu, katanya pemantauan di perairan sebelah pantai barat di semenanjung iaitu kawasan Pontian, Johor serta pantai timur Johor akan diperketatkan kerana dikesan sering dijadikan laluan tikus penyeludupan PATI.

“Dalam mesyuarat bersama Menteri Dalam Negeri di Johor baru-baru ini, memutuskan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor akan menyelaraskan operasi bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Polis Marin untuk tugas pemantauan di peraiaran negara.

“Kita juga akan mohon bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membuat pintasan di laut bagi menyekat laluan yang digunakan pendatang asing.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata pihaknya sedang mengenalpasti tekong yang menjalankan aktiviti penyeludupan dan penyusupan masuk PATI ke negara ini.

“Kita sedang mengkoordinsikan kerjasama di antara Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta Cawangan Khas untuk mengenal pasti tekong-tekong ini.

“Kita yakin tekong ini terdiri daripada orang dalam (orang tempatan) yang turut berperanan sebagai dalang utama penyeludupan masuk PATI ke negara ini,” kata beliau lagi.

Katanya, pihaknya juga akan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) dalam menangani kegiatan itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X