X
Khamis, 2 April 2020 | 9:36am

Ditahan ingkar PKP, ketika asyik main sabung ayam

ALOR SETAR: Empat lelaki warga Myanmar yang sedang asyik bermain ayam sabung di kawasan lapang belakang Terminal Bas Shahab Perdana, dekat sini semalam ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka didapati masih lagi ingkar walaupun tempoh PKP memasuki Fasa 2, kira-kira 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kesemua mereka ditahan oleh sepasukan anggotanya yang melakukan rondaan Op COVID-19.

Beliau berkata, mereka berusia antara 24 hingga 43 tahun itu dikatakan sedang menyaksikan ayam sabung itu bertarung untuk menguji kehebatan haiwan berkenaan dan hanya sekadar hiburan.

“Bukan mereka tidak tahu mengenai PKP yang sedang dilaksanakan namun mereka tetap berada di luar tanpa memikirkan kesan sekiranya terkena jangkitan COVID-19.

“Berikutan itu, kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan dua ekor ayam jantan berkenaan turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut,” katanya di sini semalam.

Mohd Rozi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan di lokap IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

EMPAT lelaki Myanmar ditahan bersama dua ekor ayam sabung kerana ingkar PKP di kawasan lapang belakang Terminal Bas Shahab Perdana. - Foto Zuliaty Zulkiffli
EMPAT lelaki Myanmar ditahan bersama dua ekor ayam sabung kerana ingkar PKP di kawasan lapang belakang Terminal Bas Shahab Perdana. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X