Isnin, 23 March 2020 | 11:16am
OPERASI mencari dua pemburu emas yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai. - Foto Nor Farhani Che Ad
OPERASI mencari dua pemburu emas yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai. - Foto Nor Farhani Che Ad

Operasi mencari dua pemburu emas tertimbus diteruskan

GURUN: Operasi mencari dua pemburu emas yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai petang semalam, disambung semula pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata gerakan mencari Roslan Saidin 52, Md Noor Shaari, 68, dimulakan jam 8 pagi selepas ditangguh tengah malam tadi.

“Ketika ini kerja pelebaran tanah sedang dilakukan menggunakan dua jentera pengorek bagi membolehkan jentera itu masuk ke kawasan runtuhan.

“Seterusnya, khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) akan digunakan bagi menentukan kedudukan sebenar mangsa yang tertimbus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sayani berkata, kerja mencari mangsa dijangka mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam lagi berikutan struktur tanah yang tidak stabil.

Beliau berkata, Pasukan Khas Taktikal, Operasi dan Penyelamat (STORM) akan melakukan kerja pencarian secara manual selepas kedudukan mangsa berjaya dikesan.

Katanya, seramai 40 anggota bomba termasuk 12 anggota STORM dan lapan anggota dari unit K9 terbabit dalam operasi diteruskan hari ini.

Semalam, media melaporkan dua mangsa terbabit dipercayai tertimbus ketika sedang mencari emas di kawasan itu.

Mangsa dianggarkan tertimbus pada kedalaman antara 1.5 hingga tiga meter.

Berita Harian X