Isnin, 23 March 2020 | 9:46am
KEBAKARAN memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Gusung Melanta, Pulau Bum-Bum, Semporna, malam tadi. - Foto ihsan bomba
KEBAKARAN memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Gusung Melanta, Pulau Bum-Bum, Semporna, malam tadi. - Foto ihsan bomba

17 penghuni hilang tempat tinggal

SEMPORNA: Seramai 17 penghuni daripada tiga rumah di Kampung Gusung Melanta, Pulau Bum-Bum, dekat sini hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Ketua Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.25 malam.

Susulan itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, diketuai PBKI Abdul Kadir Halalan dikejarkan ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, pasukan Bomba mengalami kesukaran untuk

sampai di lokasi dan terpaksa menggunakan jalan alternatif lain berikutan keadaan air laut surut.

"Setiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal manakala sebuah lagi terbakar 10 peratus pada bahagian dinding.

"Api berjaya dikawal kira-kira jam 10.55 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya sejam kemudian," katanya ketika dihubungi, di sini pagi ini.

Beliau berkata, tiada kecederaan mahupun kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu sementara punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Semua penghuni terbabit dilaporkan kini menumpang di rumah saudara mara masing-masing.

Berita Harian X