Jumaat, 20 March 2020 | 10:14am
Pelajar Tingkatan Dua maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan SS 9, Kelana Jaya, semalam. - Ihsan PDRM
Pelajar Tingkatan Dua maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan SS 9, Kelana Jaya, semalam. - Ihsan PDRM

Pelajar maut motosikal langgar pembahagi jalan

PETALING JAYA: Seorang pelajar Tingkatan Dua maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan SS 9, Kelana Jaya di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, Muhammad Affandi Lim Abdul Rahman Lim, 14, yang membonceng, disahkan maut di tempat kejadian, manakala rakannya, Muhammad Haikal Jefri, 14, cedera parah.

Siasatan awal polis mendapati motosikal Honda Wave dinaiki dua pelajar itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan.

Sepasukan anggota pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang ke lokasi mengesahkan Muhammad Affandi Lim meninggal dunia sebelum jenazahnya dihantar ke Jabatan Patologi Forensik PPUM untuk dibedah siasat.

Rakannya, Muhammad Haikal pula dikejarkan dengan ambulans ke Jabatan Kecemasan PPUM untuk rawatan.

Buat masa ini, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Saksi yang melihat kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Al-Rassid Borhanuddin di talian 019 9905570.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X