Khamis, 19 March 2020 | 4:39pm

Kejar untung, rugi yang dapat

KUANTAN: Gara-gara mengejar keuntungan berganda menerusi pelaburan Forex yang ditawarkan di Facebook, seorang penganggur berputih mata apabila menanggung kerugian RM59,709.60 pada Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 22 tahun itu mendapat tawaran untuk menyertai pelaburan Forex selepas berkenalan dengan suspek di Facebook.

Menurutnya, mangsa berminat dengan tawaran berkenaan apabila dijanjikan dengan pulangan lumayan dan kurang risiko kerugian serta meraih keuntungan terbabit menggunakan mata wang AS$.

“Mangsa berminat seterusnya memasukkan RM2,100 ke dalam akaun suspek sebagai modal permulaan pelaburan itu.

“Seterusnya, bermula 18 hingga 23 Disember 2019, mangsa membuat lima transaksi membabitkan wang sebanyak RM57,609.60 ke dalam akuan sama,” katanya, di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan selepas tiga bulan membuat pelaburan terbabit.

“Modus operandi dijalankan suspek adalah memperdaya pengadu dengan menawarkan pelaburan forex berhasil pulangan yang menguntungkan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Berita Harian X