Isnin, 16 March 2020 | 11:00am
Keadaan motosikal yang ditunggang oleh arwah Mohamad Azizi di Jalan Johor Bharu - Ayer Hitam. Foto ihsan polis.
Keadaan motosikal yang ditunggang oleh arwah Mohamad Azizi di Jalan Johor Bharu - Ayer Hitam. Foto ihsan polis.

Maut motosikal rempuh kereta

KLUANG: Seorang lelaki maut akibat selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 83 Jalan Johor Bharu - Ayer Hitam, kira-kira jam 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata Mohamad Azizi Mohd Sahrun, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal secara bersendirian dalam perjalanan dari Pekan Simpang Renggam menuju ke bandar Ayer Hitam.

“Ketika sampai di tempat kejadian, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki simpang.

“Akibat jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan memberhentikan motosikal ditunggangnya sehingga menyebabkan perlanggaran,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Abduh, jenazah mangsa dibwa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kenderaan yang terbabit ditahan di Balai Polis Sri Lalang untuk pemeriksaan kerosakan dengan pihak Pusat Pemeriksaan Berkomputer,” katanya.

Berita Harian X