Khamis, 12 March 2020 | 10:23am
Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto BERNAMA
Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto BERNAMA

Hari ke-14 perbicaraan kes rasuah Rosmah bermula

KUALA LUMPUR: Hari ke-14 perbicaraan kes rasuah membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek solar hibrid, bermula di Mahkamah Tinggi di sini jam 10.03 pagi tadi.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan hari ini dimulakan dengan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad menyambung memberi keterangan.

Pada perbicaraan semalam, Alias antara lain memberitahu mahkamah bahawa Rosmah Mansor ada memintanya untuk mempercepat proses menandatangani kontrak projek solar hibrid di Sarawak.

Berita Harian X