Khamis, 12 March 2020 | 12:04am
Keadaan kenderaan yang dinaiki mangsa ditemui orang awam selepas lima hari dilaporkan hilang. - NSTP/Ihsan Polis
Keadaan kenderaan yang dinaiki mangsa ditemui orang awam selepas lima hari dilaporkan hilang. - NSTP/Ihsan Polis

Hilang lima hari, ditemui maut nahas

MERSING: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak lima hari lalu, terjawab apabila dia ditemui maut malam tadi, dipercayai terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Mangsa, Muhammad Izzudin Israfil, 30, yang beralamat di Taman Sri Puteri Mersing dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata pada jam 8.15 malam tadi pihaknya menerima maklumat kes kemalangan maut dipercayai hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 23 Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Persona ditemui orang awam di lereng bukit dalam jarak lebih kurang 20 meter dari Jalan Besar di lokasi terbabit bersama satu mayat yang tersepit di bawah kenderaan.

“Kejadian juga dipercayai berlaku beberapa hari berikutan keadaan mayat mangsa yang berbau serta mereput.

“Mayat yang mula mereput itu ditemui dengan kecederaan parah di badan dan kepala. Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X