Selasa, 10 March 2020 | 8:03pm
Operasi SAR kanak-kanak yang hilang di Pantu, Sri Aman diperluas hingga ke kawasan berdekatan Banjaran Kelingkang, yang memisahkan wilayah Malaysia-Indonesia. - Ihsan Bomba
Operasi SAR kanak-kanak yang hilang di Pantu, Sri Aman diperluas hingga ke kawasan berdekatan Banjaran Kelingkang, yang memisahkan wilayah Malaysia-Indonesia. - Ihsan Bomba

Seminggu mencari, tiada jejak Patrick dikesan

SRI AMAN : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki yang hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Rapak Baru, Pantu, di sini, yang genap seminggu hari ini, masih gagal mengesan mangsa berusia tiga tahun itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sehingga operasi ditangguhkan pada jam 5.30 petang tadi hampir semua kawasan dalam radius empat kilometer keliling sudah digeledah.

Bagaimanapun, tiada sebarang tanda yang boleh dijadikan petunjuk untuk mengesan kanak-kanak berkenaan, Patrick Igih.

“Pencarian hari ini dibahagikan kepada dua sektor membabitkan 71 orang daripada pelbagai agensi serta bantuan penduduk kampung.

“Kami turut menggunakan dron selain berjalan secara senyap dan menggunakan deria bau, namun sehingga operasi ditangguhkan, tiada sebarang petunjuk ditemui,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau berkata, jarak kawasan pencarian hari ini kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia dan hanya dipisahkan oleh Banjaran Kelingkang.

Operasi SAR diaktifkan sebaik JBPM Sarawak menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada jan 2.33 petang, Rabu lalu.

Mangsa dikatakan mengikut bapa dan datuknya ke kawasan ladang berkenaan pada jam 9 pagi hari berkenaan.

Ketika bapa dan datuknya mengiringi kakitangan sebuah agensi menghantar barang ke puncak bukit berdekatan ladang itu, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan sendirian di dalam sebuah pondok.

Kanak-kanak itu disedari hilang selepas datuknya kembali ke pondok berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.

Sementara itu katanya, pencarian akan diteruskan untuk hari kelapan, esok.

Berita Harian X