Khamis, 5 March 2020 | 9:35pm
Anggota Bomba dan Penyelamat di lokasi kejadian tanah runtuh yang menimbus dua buruh warga Bangladesh di Mentakab, Temerloh. - Foto BERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat di lokasi kejadian tanah runtuh yang menimbus dua buruh warga Bangladesh di Mentakab, Temerloh. - Foto BERNAMA

Dua buruh Bangladesh maut tertimbus

KUANTAN: Dua buruh warga Bangladesh maut selepas tertimbus tanah runtuh di tapak projek perumahan di Mentakab, Temerloh dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman, berkata kejadian dipercayai berlaku pada 4.15 petang semasa kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka sedang melakukan kerja menanam paip najis.

Mangsa dikenal pasti sebagai Md Shoriful, 43, dan Julhas Rahman, 27, berdasarkan maklumat lisan rakan sekerja mereka.

“Kedua-dua mangsa difahamkan berada dalam lubang yang dianggarkan sedalam enam meter dan terdapat dua jentera di atas yang melakukan kerja mengorek tanah.

“Timbunan tanah di bahagian tepi lubang dikatakan runtuh semasa kerja itu dilakukan dan menimbus mereka,” katanya semasa dihubungi, di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, rakan sekerja mangsa cuba untuk menyelamatkan mereka, namun hanya mampu mengeluarkan seorang daripada mereka berikutan kewujudan runtuhan tanah yang banyak.

Beliau berkata, bomba berjaya mengeluarkan jenazah Md Shoriful pada 4.45 petang, manakala mangsa kedua ditemui kira-kira 15 minit kemudian.

Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat.

Setakat ini, katanya, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu. – BERNAMA

Berita Harian X