X
Jumaat, 28 Februari 2020 | 6:25pm

Wanita mengandung antara 53 ditahan Op Ice Breaker

KLANG: Seorang wanita yang mengandung empat bulan antara 53 individu ditahan dalam Op Ice Breaker 3.0 di sarang penagihan dadah di sekitar kawasan tanaman sayur di Jalan Kebun, Johan Setia, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata dalam operasi selama 11 jam bermula 3 pagi tadi itu, tiga pengedar dadah turut ditangkap.

“Polis menangkap tiga pengedar dan 50 penagih dadah warga tempatan atas kesalahan memiliki dadah dan mempunyai rekod dikehendaki atas kesalahan dadah.

“Kesemua suspek termasuk lima wanita berumur lingkungan 30 hingga 60 tahun positif ‘morphine’.

“Polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 50 gram dianggarkan bernilai RM2,000 serta menyita sebuah motosikal jenis Honda bernilai RM3,000,” katanya dalam sidang media di lokasi tangkapan di sini petang ini.

Shamsul Amar berkata, ketika operasi dijalankan, seorang suspek cuba melarikan diri dengan motosikal namun berjaya ditangkap.

“Suspek yang cuba melarikan diri itu terjatuh dari motosikal dan cedera di kepala, kini dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, 52 suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Seorang lagi suspek lelaki ditangkap mengikut Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Polis percaya ada suspek yang ditangkap hari ini, pernah ditangkap sebelum ini dan dijatuhi hukuman di bawah kesalahan dadah,” katanya.

Katanya, hasil risikan anggotanya mendapati, sarang penagihan itu pernah di serbu pertengahan tahun lalu dan kembali aktif sejak dua bulan lalu.

Shamsul Amar (berdiri, tengah) bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Rahmat Ariffin di lokasi tangkapan 53 individu yang ditahan dalam Op Ice Breaker 3.0 di Jalan Kebun, Johan Setia. - NSTP/Ruwaida Md Zain
Shamsul Amar (berdiri, tengah) bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Rahmat Ariffin di lokasi tangkapan 53 individu yang ditahan dalam Op Ice Breaker 3.0 di Jalan Kebun, Johan Setia. - NSTP/Ruwaida Md Zain
Berita Harian X