Khamis, 27 Februari 2020 | 1:02pm

'Lelaki Paling Berani' Lahad Datu diburu polis

LAHAD DATU: Polis memburu sekumpulan lapan lelaki ‘paling berani Lahad Datu’ yang merusuh dan menumbuk dua remaja lelaki di hadapan sebuah kedai perkakasan di bandar ini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 16 dan 18 tahun tiba-tiba ditumbuk dan dipukul bertubi-tubi oleh kumpulan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata sebelum kejadian, dua remaja itu ke sebuah kedai perkakasan untuk membeli barang.

Sebaik berada di hadapan kedai, katanya, mereka didatangi sekumpulan enam hingga lapan lelaki berusia dalam lingkungan 20 tahun yang tidak dikenali.

“Kumpulan lelaki itu tiba-tiba memukul mangsa dan sepupunya yang berada dalam kereta berdekatan kedai terbabit sebelum melarikan diri.

“Akibat kejadian, mangsa dilaporkan mengalami bengkak dan pendarahan hidung serta calar pada leher. Mangsa membuat laporan polis dan usaha mengesan suspek giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nasri berkata, siasatan mendapati suspek memukul mangsa tanpa menggunakan senjata.

“Rakaman kejadian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga sudah diperoleh,” katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai butiran suspek agar menghubungi polis bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Rakaman CCTV yang menunjukkan mangsa dibelasah beberapa lelaki.
Rakaman CCTV yang menunjukkan mangsa dibelasah beberapa lelaki.
Berita Harian X