Selasa, 25 Februari 2020 | 10:33am

Lelaki cabul jururawat ditahan

LANGKAWI: Polis menahan lelaki yang dipercayai mencabul seorang jururawat ketika menceroboh rumah mangsa di Padang Matsirat di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.50 pagi semalam, suspek berusia 29 tahun itu dilaporkan masuk ke rumah mangsa melalui pintu dapur sebelum mencabul wanita berusia 25 tahun itu yang nyenyak tidur.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata mangsa membuat laporan berhubung kejadian sebelum memburu suspek sebelum menahannya jam 9 malam tadi.

“Suspek yang tinggal berhampiran rumah mangsa, dipercayai turut melarikan wang tunai RM80 milik suami mangsa.

“Ketika kejadian, suami mangsa tidur di bilik berasingan bersama anak lelaki mereka yang berusia dua tahun,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, mangsa mendakwa suspek turut mencabulnya.

“Mangsa yang terkejut sempat menjerit dan memanggil suaminya sebelum suspek melarikan diri ke dapur rumah.

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan cabul,” katanya.

Berita Harian X