Jumaat, 21 Februari 2020 | 11:52am

Polis panggil ibu bapa bayi maut terbakar

TAMPIN: Polis akan memanggil ibu bapa bayi perempuan 10 bulan yang maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Bangkahulu, Gemas, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal, berkata kedua-duanya akan dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan kejadian itu.

“Ya, kita akan panggil mereka untuk lengkapkan siasatan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun polis perlu menjalankan siasatan dengan mengambil kira semua aspek termasuk faktor kecuaian,” katanya ketika dihubungi BH.

Ahmad Pilus berkata, polis juga perlu mendapatkan keterangan saksi di tempat kejadian selain perlu menunggu laporan forensik daripada pihak bomba.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Pilus berkata laporan bedah siasat di Hospital Tampin mendapati kematian bayi itu akibat terbakar seluruh badan.

Dalam kejadian kira - kira 11.35 pagi itu, bayi berkenaan Siti Nur Aini Zulimi maut selepas ditinggalkan sendirian dalam buai elektrik oleh ibunya yang keluar ke Pejabat Pos Gemas.

Berita Harian X