X
Jumaat, 21 Februari 2020 | 11:13am
SERAMAI 11 ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Sarang di sekitar kawasan semak di bawah Jambatan Jalan Mayang Lagu, Pelabuhan Klang, di sini semalam. NSTP/PDRM
SERAMAI 11 ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Sarang di sekitar kawasan semak di bawah Jambatan Jalan Mayang Lagu, Pelabuhan Klang, di sini semalam. NSTP/PDRM

11 ditahan dalam Ops Sarang

KLANG : Kecekapan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Klang Selatan berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki melarikan diri ketika Ops Sarang di sekitar kawasan semak di bawah Jambatan Jalan Mayang Lagu, Pelabuhan Klang, di sini semalam.

Dalam serbuan yang bermula kira-kira jam 7 pagi hingga 2 petang semalam, suspek yang melarikan diri dengan motosikal cuba melanggar anggota polis tetapi berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, seramai 23 yang diperiksa dalam operasi terbabit, 11 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Kesemua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan iaitu tiga pengedar dadah disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB), seorang memiliki dadah mengikut Seksyen 12(2) ADB.

"Sementara itu, empat penagih disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 manakala tiga penagih dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(a)ADB.

“Semua yang ditahan adalah lelaki berumur lingkungan 22 hingga 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, polis turut merampas sejumlah 7.63 gram dadah jenis heroin dan 5.08 gram dadah jenis syabu. Nilai rampasan dadah terbabit dianggarkan sebanyak RM1,200.

Berita Harian X