Khamis, 20 Februari 2020 | 2:31pm
BEKAS Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Rosdan Wahid
BEKAS Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Rosdan Wahid

Peguam Negara tolak representasi Hasanah

KUALA LUMPUR: Peguam Negara menolak representasi yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, berhubung pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, dalam pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Muhamad Iskandar juga memaklumkan mahkamah, Hasanah telah melantik pasukan peguam baharu mewakilinya dalam kes itu.

“Saya baru sahaja mendapat maklumat pagi ini bahawa tertuduh telah melantik peguam baharu bagi mewakilinya,” katanya.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah mengesahkan perkara itu dan memaklumkan beberapa dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan melalui anak guamnya.

Pada 14 Januari lalu, peguam yang mewakili Hasanah menghantar representasi bertulis kepada Peguam Negara berhubung pertuduhan dihadapinya.

Mahkamah menetapkan 11 hari bermula 5, 6 dan 8 Oktober; 12 hingga 15 Oktober serta 19 hingga 22 Oktober ini untuk perbicaraan kes manakala 23 Mac untuk pengurusan kes.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 61, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 April 2018 hingga 9 Mei 2018 di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Berita Harian X