Khamis, 20 Februari 2020 | 1:28pm
VETHRI Vel didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini atas empat pertuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian empat sekeluarga , Khamis minggu lalu. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
VETHRI Vel didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini atas empat pertuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian empat sekeluarga , Khamis minggu lalu. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Tiada pengakuan sebab tak faham Bahasa Malaysia

SUNGAI SIPUT: Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini atas empat pertuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian empat sekeluarga , Khamis minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Y Vethri Vel, 26, sejurus keempat-empat pertuduhan dibacakan kepadanya kerana tertuduh tidak memahami Bahasa Malaysia.

Tertuduh didakwa memandu treler bernombor pendaftaran WUA 5761 secara melulu hingga mengakibatkan kematian empat mangsa berkenaan dalam nahas di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar pada 13 Februari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda RM5,000 hingga RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Nahas jam 10.20 malam itu, mengorbankan anggota polis, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhri, 28; dan isterinya, Nik Idayu Nik Hasan, 30; serta anak bongsu pasangan itu, Mohammad Faqih Irshad, 2.

Turut terbunuh dalam nahas di Kilometer 37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar itu adalah Nik Ifieka Nik Hasan, 27, yang juga adik kepada Nik Idayu.

Prosiding pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hweidi di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob, manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norlida Ishak.

Jean Siow memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh tetapi Norlida memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh masih menyara ibu bapa serta tiga adik termasuk seorang masih bersekolah.

Norhabsarina kemudiannya menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan oleh seorang penjamin, sebelum menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan kehadiran seorang jurubahasa.

Berita Harian X