Isnin, 17 Februari 2020 | 7:04pm

Bayi parah tercampak keluar daripada kereta keluarga

SEPANG: Seorang bayi perempuan patah bahu kanan dan kaki kiri, akibat tercampak keluar daripada kereta dinaiki bersama ibu bapanya selepas terbabas di Kilometer 37.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang ketika kereta keluarga yang berada di lorong tengah, hilang kawalan dan berpusing dipercayai akibat tayar pecah.

“Kereta Nissan Skyline dipandu lelaki berusia 27 tahun itu kemudian merempuh penghadang jalan di sebelah kiri.

“Kejadian itu menyebabkan dua mangsa iaitu isterinya berusia 27 tahun serta bayi perempuan mereka berusia 17 bulan yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar menerusi cermin belakang yang pecah,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, mangsa wanita mengalami patah peha kanan, manakala anaknya patah bahu kanan dan bahu kiri.

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan itu juga menyebabkan sebuah kereta model BMW yang melalui laluan berkenaan gagal mengelak lalu merempuh kereta mangsa.

“Dua kenderaan model kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza turut dilaporkan mengalami kerosakan akibat terkena serpihan objek akibat kemalangan berkenaan,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, satu video berdurasi satu 36 saat dan beberapa gambar kejadian berkenaan viral di media sosial sejak semalam.

Berita Harian X