Ahad, 16 Februari 2020 | 11:47am
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan di Kilometer 305.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Kampar. - Foto ihsan JBPM
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan di Kilometer 305.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Kampar. - Foto ihsan JBPM

Pemandu treler maut

KAMPAR: Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan yang membabitkan dua buah treler di Kilometer 305.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara kira-kira jam 2.30 pagi tadi, dekat sini.

Mangsa, Mohamad Rashidi Zainudin, 32, berasal dari Kamunting, Perak maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi pemandu berumur 51 tahun tidak mengalami kecederaan.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dan BBP Tapah dikejarkan di tempat kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan tersepit.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah treler yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Pulau Pinang.

Akibat kejadian itu mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh maut di tempat kejadian.

“Bahagian depan treler yang dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk, manakala sebuah lagi treler juga mengalami kerosakan di bahagian belakang dan tayar kiri pecah.

“Sampel darah mangsa dan seorang lagi pemandu diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X