Khamis, 13 Februari 2020 | 4:32pm
ROSMAH hadir pada perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias
ROSMAH hadir pada perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Rosmah tunjuk minat luar biasa terhadap projek solar

KUALA LUMPUR: Projek solar hibrid adalah satu-satunya projek kerajaan di mana Datin Seri Rosmah Mansor sendiri menunjukkan minat dan kepentingannya untuk menjayakan permohonan yang dikemukakan oleh Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak).

Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata sebelum ini Rosmah tidak pernah membuat sebarang permintaan membabitkan projek kerajaan kepadanya.

Madinah, 64, berkata permintaan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu kebiasaannya disalurkan melalui pegawai khas beliau untuk program PERMATA atau dibuat sendiri oleh Rosmah dalam mesyuarat membabitkan bekalan atau urusan gaji guru PERMATA.

“Bagaimanapun, ketika menghadiri majlis PERMATA, berlaku insiden luar biasa dan menimbulkan tanda tanya dalam diri saya.

“Insiden luar biasa itu berlaku selepas tamatnya majlis PERMATA yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya yang membabitkan Rosmah,” katanya di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Madinah berkata, sebaik Rosmah memasuki kereta dan menurunkan tingkap kereta serta memanggil dengan cara melambai ke arahnya.

“Apabila saya menghampiri Rosmah, beliau memberitahu saya lebih kurang; “You (awak) tengok sikit projek solar, cepatkan sikit.”

“Saya hanya menjawab “Insya-Allah Datin Seri” dan selepas itu beliau beredar,” katanya pada perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang dihadapi Rosmah.

Madinah berkata, apa yang beliau faham daripada permintaan Rosmah adalah memerlukan bantuannya sebagai KSU Kementerian Pendidikan untuk menyegerakan urusan perolehan projek solar hibrid supaya projek itu dianugerahkan kepada Jepak.

Permintaan daripada Rosmah mewujudkan suatu keperluan mendesak dalam dirinya bahawa permohonan itu perlu diberi perhatian dan beliau perlu menyusul segera untuk menjayakan permohonan oleh Jepak.

“Sekiranya saya tidak mengambil berat mengenai permohonan itu, Rosmah boleh mengadu kepada Najib mengenai kelewatan di pihak saya.

“Tambahan pula, suami beliau (Najib) mengeluarkan arahan untuk melaksanakan projek solar hibrid Jepak untuk menggantikan projek genset diesel,” katanya.

Tambah Madinah, sebagai penjawat awam, sebarang teguran daripada Perdana Menteri adalah suatu perkara yang sangat serius kecuali dalam keadaan tertentu yang tidak membolehkan tindakan diteruskan.

Insiden itu berlaku sebelum Jun 2016, bagaimanapun, sekitar bulan April hingga September 2016, terdapat beberapa individu luar yang menekan Kementerian Pendidikan untuk menyegerakan urusan perolehan projek solar kepada Jepak.

“Selain Rosmah, individu tersebut dalam pengetahuan saya ialah rakan kongsi Said Abang Samsudin dan bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor,” katanya.

Berita Harian X