Sabtu, 8 Februari 2020 | 6:58pm
Remaja meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terbabas di Kilometer 457.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Kota Damansara, petang tadi.
Remaja meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terbabas di Kilometer 457.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Kota Damansara, petang tadi.

Remaja maut motosikal rempuh penghadang lebuh raya

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga remaja meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terbabas di Kilometer 457.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Kota Damansara dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari itu, Muhammad Hafizzudin Hairuddin, 18, bersama pembonceng Muhammad Syufian, 17, dalam perjalanan dari arah Klang menghala utara, dipercayai gagal mengawal motosikal di lorong kecemasan sebelum melanggar penghadang di kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Rakan pembonceng yang cedera di badan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Polis masih menyiasat punca kejadian membabitkan kedua-dua mangsa yang beralamat di Kampung Melayu Sri Kundang, Kuang, Rawang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan meminta saksi tampil memberi maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Nazreen, di talian 010-2105101 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987.

Berita Harian X