Khamis, 6 Februari 2020 | 6:27pm
MOHD Safuan Ramli didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman, atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya di FELDA Cherul Dua, minggu lalu. - Foto Zaid Salim
MOHD Safuan Ramli didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman, atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya di FELDA Cherul Dua, minggu lalu. - Foto Zaid Salim

Penganggur didakwa bunuh anak saudara

KEMAMAN: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya di FELDA Cherul Dua, minggu lalu.

Pertuduhan terhadap Mohd Safuan Ramli, 26 tahun, dibacakan di hadapan Majistret Nuruaim Abdullah, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Safuan didakwa membunuh Nurhafiya Aufa Mohd Taquddin, 3, di sebuah rumah di FELDA Cherul Dua di sini, jam 1 tengah hari, 27 Januari lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 April depan.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia selepas ditikam dengan menggunakan pisau pemotong sayur.

Kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah datuk dan neneknya. Tertuduh didakwa menikam mangsa pada bahagian dada hingga menyebabkan kematian.

Dia ditahan jiran ketika cuba melarikan diri sebelum diserahkan kepada polis dan ditahan reman selama lapan hari untuk siasatan. Hasil ujian saringan air kencing juga mendapatinya positif dadah methamphetamine.

Berita Harian X