Sabtu, 1 Februari 2020 | 10:01am
Keadaan motosikal Muhammad Zaim (gambar kecil) selepas merempuh belakang treler di Kilometer 216.6, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), Alor Gajah. Foto Ihsan PDRM
Keadaan motosikal Muhammad Zaim (gambar kecil) selepas merempuh belakang treler di Kilometer 216.6, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), Alor Gajah. Foto Ihsan PDRM

Pelajar ADTEC maut motosikal rempuh belakang lori

ALOR GAJAH: Seorang pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Alor Gajah, di sini maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang treler rosak di Kilometer 216.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Muhammad Zaim Akmal Azhar, 21, yang dalam perjalanan dari ADTEC ke rumahnya di Bukit Baru, Melaka melanggar belakang treler sarat muatan papan yang diletakkan di sebelah kiri susur masuk ke lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pemandu treler, Mohd Nasir Abdul Rahman, 37, yang dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke Johor terpaksa memberhentikan kenderaannya kerana ia rosak.

“Siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150R datang dari arah Plaza Tol Simpang Ampat, untuk masuk ke lebuh raya tetapi melanggar belakang treler.

“Mangsa yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala pemandu treler tidak cedera,” katanya di sini hari ini.

Berita Harian X