Jumaat, 31 Januari 2020 | 4:59pm

Tiga maut kereta langgar treler

KUALA LUMPUR: Tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 457.9 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sierramas West, Sungai Buloh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, mangsa dikenal pasti sebagai Noor Hafisah Sharibun, 35; Mohd Azrul Kasim, 35 dan Muhammad Haiqal, 2, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua lagi penumpang kereta itu Muhammad Shahril Aiman Abdul Rahman, 7 dan Aishah Umairah berusia dua bulan dilaporkan cedera parah dan kini ditempatkan di zon merah Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kereta PROTON Persona dinaiki lima sekeluarga itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh belakang treler terbabit.

“Kemalangan berlaku apabila PROTON Persona itu gagal memotong treler berkenaan selepas melihat ada sebuah lagi kenderaan berat di laluan utama.

“Pemandu treler itu dilaporkan tidak cedera. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X