Jumaat, 31 Januari 2020 | 12:20pm
MPV Toyota Alphard yang dinaiki tiga sekeluarga terbakar di Kilometer 119.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara, di Kepala Batas, hari ini. - Ihsan Bomba
MPV Toyota Alphard yang dinaiki tiga sekeluarga terbakar di Kilometer 119.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara, di Kepala Batas, hari ini. - Ihsan Bomba

MPV terbabas langgar penghadang jalan, dua beranak rentung

KEPALA BATAS: Dua beranak rentung selepas Toyota Alphard yang mereka naiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 119.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 10 pagi.

“Difahamkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berkenaan yang dinaiki tiga sekeluarga terbabas lalu terbakar. Dua mangsa iaitu seorang lelaki dan anaknya berusia tiga tahun didapati rentung di dalam MPV terbabit, manakala isterinya dapat menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan itu.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat. Maklumat lanjut mengenai kejadian ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.58 pagi.

“Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas dikejarkan ke lokasi. Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah MPV Toyota Alphard terbakar.

“Difahamkan MPV berkenaan terbabas lalu melanggar penghadang jalan menyebabkannya terbakar,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pemeriksaan bomba mendapati ada dua mangsa maut akibat rentung di dalam kenderaan berkenaan.

Berita Harian X