Selasa, 28 Januari 2020 | 12:51pm

Suspek tikam budak direman

CHUKAI: Seorang penganggur direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh membabitkan anak saudaranya berusia tiga tahun.

Perintah tahanan reman yang bermula hari ini dikeluarkan Hakim Mahkamah Seksyen Kemaman, Azman Mustaffa.

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek yang memakai baju lokap ungu dibawa ke mahkamah diiringi anggota polis, kira-kira jam 8.45 pagi.

Dalam kejadian semalam, seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas ditikam bapa saudaranya dengan pisau pemotong sayur.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengahari, suspek yang berusia 26 tahun itu, dikatakan menikam mangsa di dada dalam kejadian di Felda Cerul 2, Kemaman.

Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Berita Harian X