X
Ahad, 19 Januari 2020 | 1:09pm
Anggota polis memeriksa mat rempit serta motosikal yang ditahan dalam operasi di Plaza Tol Senawang, Seremban, hari ini. - Ihsan PDRM
Anggota polis memeriksa mat rempit serta motosikal yang ditahan dalam operasi di Plaza Tol Senawang, Seremban, hari ini. - Ihsan PDRM

227 saman dalam Ops Samseng Jalanan

SEREMBAN: Polis mengeluarkan 227 saman bagi pelbagai kesalahan dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di Plaza Tol Senawang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berkata operasi bermula jam 2 pagi itu meliputi 12 pegawai dan 73 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, JSPT Bukit Aman serta PLUS Ronda.

Katanya, sebanyak 153 motosikal ditahan dengan seramai 150 lelaki dan sembilan wanita diperiksa.

“Empat lelaki berusia 19 sehingga 21 tahun ditahan manakala empat motosikal disita kerana kesalahan menunggang secara melulu, berbahaya dan bersaing sesama sendiri dari Plaza Tol Seremban-Labu ke Senawang.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, turut ditahan adalah seorang lelaki berusia 20 tahun manakala motosikalnya disita mengikut Seksyen 108(3)(f) akta sama kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

Katanya, semua direman selama dua hari mulai hari ini.

Berita Harian X