Sabtu, 18 Januari 2020 | 7:18pm
Rohani Arifin, 51, (kanan) ibu kepada mangsa dikhuatiri lemas, Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee yang bersedih ditenangkan oleh saudara-maranya ketika berada di lokasi kejadian di Pantai Teluk Bidara hari ini. - Foto BERNAMA

Zuki Ab Razak, 53, (depan, kanan) bapa kepada mangsa yang dikhuatiri lemas Muhammad Zul Fahmi, 21, melaungkan azan bagi mengiringi usaha kerja-kerja mencari dan menyelamat empat mangsa yang dikhuatiri lemas semalam di Pantai Teluk Bidara hari ini. - Foto BERNAMA

4 mangsa lemas belum ditemui

DUNGUN: Usaha mencari dan menyelamat empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara menemui jalan buntu walaupun sudah 24 jam kejadian berlaku.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman, berkata kebiasaannya dalam tempoh 24 jam, mangsa lemas akan timbul di permukaan air tetapi setakat ini ia belum berlaku.

“Operasi SAR yang masuk hari kedua kita perluaskan sehingga jarak lebih 20 kilometer sehingga ke Teluk Gadung, Sura Hujung.

“Selain operasi di tengah laut, kita juga melakukan pencarian di sepanjang pesisir pantai,” katanya.

Sharikan berkata, operasi hari ini membabitkan seramai 90 kekuatan terdiri daripada Bomba, Polis, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan penduduk kampung.

“Dalam tempoh 48 jam biasanya mangsa masih berada di kawasan sekitar tempat kejadian sebab itu kita tumpu kawasan operasi satu hingga dua batu nautika ke laut.

“Kita turut menumpukan pencarian ke kawasan pantai dalam jarak 20 kilometer sehingga ke tempat yang biasa kita jumpa mayat mangsa lemas sebelum ini, “katanya.

Katanya, sebanyak 14 buah bot termasuk empat buah jet ski milik bomba, polis, Maritim Malaysia juga milik penduduk kampung terbabit dalam operasi itu.

“Keadaan ombak besar membantut usaha pencarian di kawasan berbatu yang dipercayai lokasi di mana mangsa di katakan lemas.

“Operasi ini akan diteruskan termasuk pada waktu malam sehingga ke semua mangsa ditemui,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, mangsa, Mohamad Zul Fahmi Zuki, Mohamad Amir, Mohammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, yang kesemuanya berusia 21 tahun dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak besar.

Bagaimanapun, dua lagi rakan mereka, Muhamad Irfan Kamaruzaman, 21, dan Hazman Zamili, 21, terselamat dalam kejadian itu.

Berita Harian X