Sabtu, 18 Januari 2020 | 3:49pm
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara. - Foto BERNAMA
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara. - Foto BERNAMA

'Arus kuat dalam peralihan musim'

DUNGUN: Empat pelajar yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan di sini petang semalam, dipercayai dihanyut keluar dari lokasi kejadian.

Seorang nelayan, Nordin Abdullah, 65, yang arif dengan pergerakan cuaca kerana kerap turun ke laut berkata, keadaan angin timur laut yang bertiup kencang dan bergerak ke arah timur boleh membuatkan empat sahabat itu dibawa ombak.

“Jika angin itu bertiup ke arah selatan, mereka akan ditolak ombak ke darat dan boleh ditemui pagi ini.

“Saya andaikan mereka dibawa arus ke timur dan bergerak ke arah kawasan laut Paka, Kerteh dan Kemaman,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Empat pelajar Politeknik Sultan Mizan iaitu Mohamad Zul Fahmi Zuki, 21; Mohamad Amir, 21; Mohammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak besar kira-kira jam 6.30 petang semalam..

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi ini.

Sementara itu, Nordin berkata, dalam perjalanan pulang menangkap ikan malam tadi, arus amat kuat dan keadaan angin bertiup kira-kira 14 hingga 15 kilometer sejam.

Katanya, Pantai Teluk Bidara adalah lokasi berbahaya untuk mandi, terutama dalam peralihan musim tengkujuh ini.

“Saya membesar di sini dan mandi di pantai ini sejak kecil. Pengalaman saya, walaupun keadaan lautnya tenang namun arus bawahnya sangat kuat.

“Pusaran arus bawah amat kuat dan mampu menarik mangsa ke tengah laut jika panik atau tidak tahu berenang,” katanya.

Berita Harian X