Jumaat, 17 Januari 2020 | 7:01pm

Jurupandu paragliding, penumpang cedera terjatuh dari udara

RANAU: Seorang jurupandu sukan luncur udara atau paragliding warga tempatan dan seorang wanita warga China nyaris maut selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter ketika hampir mendarat di Kompleks Sukan Ranau, di sini, hari ini.

Paraglider lelaki, Yusof Mamat, 48, dilaporkan terseliuh kaki kanan, manakala penumpang, Zhau Ting, 28, patah paha kanan dalam kejadian jam 2.20 petang itu,

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi berkata, sebaik pihaknya dihubungi jam 2.24 petang, tujuh anggota bergegas ke lokasi dengan satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pasukan bomba berjalan sejauh 200 meter ke dalam hutan dari laluan kenderaan dan mendapati kedua-dua mangsa tidak dapat berdiri serta mengadu mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa diberi rawatan awal dan diangkat menggunakan pengusung ke laluan jalan raya sebelum dibawa menaiki EMRS untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Ranau,” katanya.

Ridwan berkata, kedua-dua mangsa sepatutnya mendarat di kawasan pelepasan Kompleks Sukan Ranau kira-kira empat kilometer dari lokasi namun mengalami masalah teknikal sebelum terjatuh di kawasan hutan berhampiran.

“Mangsa bernasib baik kerana terjatuh di kawasan hutan dan bukan kawasan curam atau sungai,” katanya.

Berita Harian X