Jumaat, 17 Januari 2020 | 3:55pm
KETUA Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini. - Foto BERNAMA

Geng samun kedai 24 jam tumpas

IPOH: Polis menahan seorang lelaki dipercayai aktif melakukan kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam sekitar bandar raya ini sejak awal tahun ini serta merampas 188 karton rokok pelbagai jenama yang dirompak daripada premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata, bekas banduan berusia 31 tahun itu ditahan di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Desa Seri Chepor, Chemor, pada jam 7.15 malam kelmarin.

“Penangkapan itu susulan operasi khas yang kita lakukan selepas menerima laporan mengenai kegiatan samun dilakukan dua lelaki bermotosikal terhadap premis terbabit dalam tempoh 2 hingga 13 Januari lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Asmadi berkata, susulan tangkapan itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun yang juga peniaga kedai runcit di Taman Permai di sini, kira-kira jam 2.30 petang semalam, dipercayai dalang yang membeli barang samun itu.

Beliau berkata, polis merampas dua topi keledar, baju, jaket dan beg galas milik suspek yang dipercayai digunakan ketika menyamun dan 188 karton rokok pelbagai jenama.

Katanya, suspek beroperasi dari tengah malam sehingga awal pagi dengan dua daripada mereka masuk ke kedai bersenjatakan parang manakala rakan suspek yang masih bebas menunggu di luar premis.

Beliau berkata, suspek direman bermula semalam sehingga Selasa ini dan soal siasat mendapati suspek mengaku melakukan sekurang-kurangya lapan kes samun kedai serbaneka 24 jam mengakibatkan kerugian lebih RM2,000.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata sehingga menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Asmadi berkata, polis juga menumpaskan Geng Roy Petak yang melakukan 14 kes ragut di sekitar Ipoh terutama Sungai Senam dan Pasir Puteh.

Katanya, kumpulan itu dianggotai dua lelaki berusia 24 dan 28 tahun yang dikenali dengan nama Roy dan Petak ditahan di Jalan Cenderawasih di RPT Jelapang Baru pada jam 6.45 petang pada 11 Januari lalu.

“Penahanan mereka susulan laporan satu kejadian ragut di hadapan Hospital Fatimah, Jalan Dato Lau Pak Khuan, di sini kira-kira jam 4 petang pada 6 Januari lalu.

“Dalam kejadian itu, dua lelaki bermotosikal meragut beg tangan mangsa berusia 59 tahun mengakibatkan mangsa diseret di atas jalan raya sehingga cedera pada tangan dan kaki, luka di kepala dan pinggang serta dirawat di Hospital Fatimah selama dua hari, dengan kerugian dianggarkan RM2,500,” katanya.

Beliau berkata, polis melancarkan Ops Rentap/Ops Limau dan berjaya mengesan kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan samun serta merampas sebuah motosikal, sembilan telefon bimbit, dua beg tangan dan satu dompet.

Berita Harian X