Khamis, 16 Januari 2020 | 2:13pm
MUHAMMAD Hafiz Rasip (kiri) bersama peguam, Mak Kah Keong ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman
MUHAMMAD Hafiz Rasip (kiri) bersama peguam, Mak Kah Keong ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Lelaki dilepas dan dibebaskan pertuduhan menyebabkan bayi termakan dadah

MELAKA: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan penganiayaan menyebabkan bayi perempuan berusia 11 bulan yang juga anak tirinya, termakan dadah pada 2018.

Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh yang juga seorang peniaga, Muhammad Hafiz Rasip, 31.

Justeru, mahkamah melepas dan membebaskan Muhammad Hafiz tanpa perlu membela diri, sekali gus mengarahkannya keluar dari kandang tertuduh.

Terdahulu dalam prosiding, peguam bela, Mak Kah Keong, berkata pihak pendakwaan gagal memanggil saksi penting bagi menceritakan segala yang berlaku pada hari kejadian, selain enam saksi pendakwaan yang dipanggil pada akhir pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri dihadapkan ke mahkamah pada 30 Ogos 2018, atas pertuduhan melakukan penganiayaan menyebabkan bayi perempuan mereka berusia 11 bulan, termakan dadah.

Muhammad Hafiz dan isteri, Nur Khalimah Fatihah Mohd Affandi, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu masing-masing didakwa menganiaya dari segi fizikal menyebabkan bayi perempuan berkenaan termakan dadah di sebuah rumah di Jalan Semabok, kira-kira jam 7.30 malam 11 Julai 2018.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh juga boleh ditambah hukuman menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh dan syarat ditetapkan mahkamah, selain menjalani khidmat masyarakat.

Berita Harian X