Selasa, 14 Januari 2020 | 8:33pm
MANGSA, Nisih Talib.
MANGSA, Nisih Talib.

Polis cari saksi kes langgar lari

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kilang wanita maut dalam kemalangan dipercayai langgar lari di Jalan USJ 1/1 Subang Jaya dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa, Nisih Talib, 48, berasal dari Kota Belud, Sabah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di tepi jalan oleh rakan sekerja mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata mangsa kemudian dikejarkan rakannya ke sebuah hospital swasta namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki ke tempat kerja di USJ 1/1 sebelum dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan.

“Buat masa ini butiran kenderaan serta pemandu yang terbabit dalam kejadian itu belum diperoleh.

“Usaha mengesan kenderaan dan pemandu terbabit masih diteruskan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan jenazahnya kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222.

Difahamkan jenazah mangsa sudah dituntut oleh keluarganya dan akan dibawa pulang ke Kota Kinabalu jam 8 pagi esok untuk dikebumikan.

Berita Harian X