Selasa, 14 Januari 2020 | 11:03am
Mohamad Safwan (gambar kecil) maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 16 Jalan Seremban-Port Dickson petang semalam. - Foto Mohd Khidir Zakaria
Mohamad Safwan (gambar kecil) maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 16 Jalan Seremban-Port Dickson petang semalam. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Anak Ketua Balai Polis Lukut maut digilis kereta

PORT DICKSON: Anak bongsu Ketua Balai Polis Lukut, Sub Inspektor Zazali Tawil maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 16 Jalan Seremban-Port Dickson petang semalam.

Pada kejadian pada jam 4.50 petang itu, mangsa, Mohamad Safwan Zazali, 21, mengalami kecederaan parah di kepala selepas motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan sebelum tercampak dan digilis kenderaan yang datang dari arah Seremban.

Bapa mangsa, Zazali, 59, berkata, anak bongsunya itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari kolejnya di MSU College Seremban.

"Pagi tadi (semalam), arwah memaklumkan ada aktiviti memanjat bukit bersama rakan sekuliah di sekitar Seremban. Arwah memang aktif dalam pelbagai aktiviti sukan sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

"Kejadian ini benar-benar mengejutkan kami sekeluarga kerana arwah tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang berlainan. Kami reda dan menerima ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui selepas pengebumian anak bongsu dari lima beradik ini malam tadi.

Katanya, arwah seorang anak yang baik, mendengar kata dan dijangka akan menamatkan diploma dalam bidang pengurusan di kolej itu.

"Saya reda dengan pemergian arwah, beliau anak yang baik dan tidak pernah menyusahkan kami sekeluarga.

"Kehilangannya pasti dirasai kerana arwah satu-satunya anak yang masih tinggal bersama kami. Empat abangnya sudah bekerja dan tinggal di luar," katanya yang bakal bersara tahun hadapan.

Turut hadir menziarahi keluarga mangsa, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed.

Sementara itu, Aidi Sham berkata, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Difahamkan mangsa dari arah Seremban cuba memotong sebuah kereta lalu bertembung dengan sebuah lori satu tan dan tercampak ke atas jalan sebelum digilis sebuah kereta dari arah yang sama ke Port Dickson.

"Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raja Jumaat di Lukut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X