Isnin, 13 Januari 2020 | 1:30pm

Ketum layan diri

BUKIT KAYU HITAM: Petik dan bungkus sendiri di kebun, itu taktik sindiket penyeludupan daun ketum yang melakukan perkhidmatan layan diri dalam kebun getah di Kampung Padang Durian, Mukim Padang Kerbau, Pendang dekat sini.

Kawasan kebun getah itu yang turut ditanam dengan pokok ketum dipercayai menjadi tumpuan penyeludup untuk mendapatkan bekalan.

Difahamkan, sindiket akan membayar kepada pemilik kebun untuk memetik dan membungkus daun ketum di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar apabila sepasukan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah menyerbu lokasi berkenaan jam 6.30 petang semalam.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman, berkata, dalam serbuan itu pihaknya berjaya merampas sebanyak 55 bungkusan daun ketum seberat 530 kilogram selain turut merampas sebuah Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand.

"Sebaik tiba di lokasi, kami menemui 30 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum yang dibalut dengan plastik lut sinar di pondok dalam kawasan kebun getah itu.

"Sementara 25 bungkusan lagi ditemui di bahagian belakang pikap berkenaan yang disyaki akan diseludup ke Thailand," katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM, di sini, hari ini.

Abd Latif berkata, pihaknya percaya kehadiran anggota AKSEM di lokasi itu sudah dihidu lebih awal oleh kumpulan sindiket yang sempat melarikan diri.

Tambahnya, sindiket penyeludupan kini tidak lagi menggunakan laluan sempadan Bukit Kayu Hitam atau Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap untuk menghantar bekalan ke Thailand.

Sebaliknya memilih laluan Sik-Baling yang lebih selamat untuk dibawa ke Thailand menerusi Pantai Timur.

"Kesemua barangan rampasan diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 ," katanya.

Abd Latif berkata, nilai rampasan daun ketum dianggarkan RM26,000 dan mampu mencecah dua kali ganda di pasaran Thailand sementara jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM56,000.

Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan.

"Kes ini adalah rampasan pertama membabitkan daun ketum pada tahun ini.

"Orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada pihak kami bagi membantu membanteras kegiatan penyeludupan seperti ini," katanya.

KOMANDER AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman (Kanan) melihat bungkusan daun ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah kebun getah di Pendang. NSTP/Zuliaty Zulkiffli
KOMANDER AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman (Kanan) melihat bungkusan daun ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah kebun getah di Pendang. NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X