Isnin, 13 Januari 2020 | 8:30am

Kanak-kanak parah ditikam di perut

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun parah di perut selepas ditikam jirannya dalam kejadian di Kampung Keda Che Bema, Sungai Layar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, suspek berusia 27 tahun itu dikatakan memasuki rumah mangsa sebelum menikam mangsa yang ketika itu sedang berbaring di ruang tamu rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu dapur yang tidak berkunci.

“Suspek dikatakan meluru masuk ke rumah mangsa dan terus menikam perut sebelah kiri mangsa dengan pisau.

“Suspek kemudian melarikan diri balik ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa selepas mendengar jeritan ibu dan kakak mangsa yang ketika itu turut berada di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan serius akibat kesan tikaman sedalam kira-kira empat sentimeter.

Adzli berkata polis berjaya menahan suspek di rumahnya serta merampas pisau digunakan untuk menikam mangsa, yang dibuang di kawasan semak di hadapan rumahnya.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan semakan turut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, bagaimanapun menurut ibu mangsa, suspek dilihat mengamuk pada malam sebelum hari kejadian akibat pengaruh dadah.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan menerima rawatan di zon merah manakala kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata.

Berita Harian X