Selasa, 7 Januari 2020 | 4:35pm
DUA tertuduh, Mohd Shamsul Abu Hassan (berbaju biru) bersama Sarudin Rahman (berbaju hitam) diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendapati cuba membunuh anggota polis dengan cara melanggar menggunakan sebuah kenderaan ketika dibawa di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

2 penganggur mengaku tidak bersalah cuba bunuh polis

AYER KEROH: Padah cuba melanggar anggota polis dengan niat membunuh bulan lalu, dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, dan berdepan hukuman penjara 10 tahun.

Tertuduh, Mohd Shamsul Abu Hassan, 46, dan Sarudin Rahman, 54, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan cubaan bunuh terhadap Lans Koperal Muhamed Hazwal Mohamed Zambri dengan melanggar mangsa menggunakan kenderaan jenis PROTON Saga di persimpangan lampu isyarat Taman Rambai Utama, Melaka pada jam 6 petang, 24 Disember, tahun lalu.

Pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raudhah Mazman menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah atas alasan tidak bekerja serta perlu menanggung keluarga.

Majistret Mohamad Izwan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin setiap seorang, selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X