Ahad, 5 Januari 2020 | 11:42am
Kereta Toyota Hilux yang merempuh tiang kedai di kaki Gunung Jerai, semalam. - Foto ihsan Pembaca
Kereta Toyota Hilux yang merempuh tiang kedai di kaki Gunung Jerai, semalam. - Foto ihsan Pembaca

Tergamam kedai makan dirempuh 4WD

YAN: Seorang peniaga hanya mampu tergamam selepas kedai makannya yang terletak di kaki Gunung Jerai, di sini dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Nurul Husna Noorzan, 27, sedang sibuk mengambil pesanan pelanggan yang singgah di kedai makannya.

“Ketika itu, saya lihat ada sebuah 4WD dinaiki enam sekeluarga sedang menuruni kawasan gunung dalam keadaan sangat laju.

“Bila sampai di hadapan kedai, kenderaan itu terus masuk ke kawasan letak kenderaan sebelum merempuh tiang kedai,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Nurul Husna berkata, dia bersama beberapa orang awam kemudian cuba membantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaan berkenaan.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan kecuali seorang lelaki warga emas tersepit di tempat duduk penumpang hadapan. Saya kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam APM) meminta bantuan,” katanya.

Katanya, ia insiden pertama seumpamanya berlaku di kawasan premis perniagaannya kerana kebanyakan kejadian sebelum ini hanya membabitkan motosikal dan basikal.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Yan, Kapten Norlizawati Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira 6.28 petang sebelum empat anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika tiba, anggota mendapati terdapat dua mangsa berusia 42 dan 82 tahun mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan.

“Difahamkan, seorang lagi mangsa wanita mengalami kecederaan yang agak teruk sudah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum anggota tiba,” katanya.

Katanya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut.

Kereta Toyota Hilux yang merempuh tiang kedai di kaki Gunung Jerai, semalam.- Foto ihsan Pembaca
Kereta Toyota Hilux yang merempuh tiang kedai di kaki Gunung Jerai, semalam.- Foto ihsan Pembaca

Berita Harian X